
ALAT YANG DIPUKUL ATAU DIKETUK
ADDUF (rebana kecil)
Duf ialah sejenis alat muzik yang disepakati oleh para ulamak keharusan penggunaannya. Hukum ini berdasarkan kepada hadith-hadith
Dalil yang mengharuskan penggunaan duf:
1. Hadith riwayat Muhammad bin Hatib daripada Rasulullah SAW :
“...Pemisah antara halal dan haram ialah pukulan duf.”
2. Hadith riwayat Khalid bin Zakuan daripada Ar-Rabie’ binti Mu’awwiz bin ‘Afra’ : “Masuk Nabi SAW– ketika mula-mula berkesedudukan denganku (selepas perkahwinan) - lalu duduk di atas hamparan itu seperti duduknya aku. Di ketika itu beberapa hamba perempuanku sedang memukul duf dan meratapi kematian bapa-bapaku dalam Peperangan Badar. Salah seorang daripada mereka mendendangkan kata-kata: Di sisi kami Nabi yang mengetahui perkara akan datang. Lantas Nabi SAWmenegur: “Tinggalkanlah kata-kata ini dan teruskan nyanyianmu.”
3. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi di dalam Sunannya : “... pergi Nabi SAW dalam satu peperangan. Apabila pulang, datang seorang hamba perempuan hitam lalu berkata: “ Wahai Rasulullah, aku telah bernazar sekiranya engkau pulang dengan selamat, aku akan memukul duf sambil menyanyi”. Nabi SAW menjawab: “Sekiranya engkau telah bernazar, buatlah sebagaimana dinazarkan, sekiranya tidak, maka tidak perlu”.
Gendang (Tabla)
Para fuqaha’ berikhtilaf pada hukum memukul gendang dan mendengar bunyinya. Pendapat-pendapat mereka adalah seperti berikut:
i. Fuqaha’ Hanafi dan sebahagian Fuqaha’ mazhab Syafie: Haram memukul gendang yang bertujuan untuk bersuka ria semata-mata. Sementara fuqaha’ Syafie bersepakat mengharamkan sejenis gendang yang dinamakan ‘Kubah’, sama ada bertujuan untuk bersuka ria semata-mata atau maksud- maksud yang lain.
ii. Fuqaha’ Maliki: Haram memukul gendang dan mendengar pukulannya (dan seluruh jenisnya) melainkan di dalam upacara perkahwinan.
iii. Mazhab Hanafi: Memukul gendang untuk tujuan-tujuan selain daripada bersuka ria seperti gendang perang, perkahwinan, dan gendang menyambut ketibaan musafir adalah diharuskan. Termasuk di dalam hukum ini, juga gendang sahur yang digunakan pada bulan Ramadhan untuk mengejutkan umat Islam pada waktu sahur.
iv. Fuqaha’ Syafie: Harus memukul gendang-gendang selain daripada kubah, gendang-gendang untuk bersuka ria semata-mata dan Al-Kabar. Iaitu harus memukul gendang perang, gendang haji, gendang sahur dan gendang hari raya.
v. Fuqaha’ Hanbali: Haram menggunakan keseluruhan alat yang melalaikan melainkan duf. Mengikut mazhab mereka, haram memukul gendang sama ada dalam upacara perkahwinan atau sebagainya.
Al-Kubah (Sejenis gendang yang ramping tengahnya dan lebar kedua hujungnya).
Para fuqaha’ Syafie sepakat mengharamkan alat ini. Pengharamannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ar-Rafi’ie dan An-Nawawi kerana ia adalah alat yang biasa digunakan oleh lelaki-lelaki pondan. Al-Imam An-Nawawi menyatakan, “...tiada beza antara kubah dengan duf dan gendang-gendang yang lain melainkan kubah, ia adalah alat yang menjadi syiar lelaki-lelaki pondan. Sekiranya tidak, hukumnya sudah pasti seperti hukum duf.”
AS-SAFAQATAN (dua piring tembaga dilagakan untuk mengeluarkan bunyi).
Para fuqaha’ dalam menentukan hukumnya terbahagi kepada 4 mazhab :
i. Hanafi, Hanbali dan yang muktamad di dalam mazhab Syafie: iaitu haram memukul dan mendengar iramanya.
ii. Sebahagian ulamak mazhab Syafie, Ibn Hazm Al-Andalusi, Abdul Ghani An-Nablusi dan Ibn Tahir Al-Qaisarani, iaitu harus memukul dan mendengar bunyinya.
iii. Mazhab Maliki: iaitu harus menggunakannya di dalam upacara perkahwinan sahaja.
iv. Sebahagian fuqaha’ mazhab Syafie: tidak memutuskan hukumnya sama ada halal atau haram.
ALAT MUZIK YANG DIPETIK
Pendapat yang mengharamkannya
- Pendapat yang mengharamkannya – sama ada digunakan semasa upacara perkahwinan atau sebagainya. Ia adalah pendapat Ibnu Abbas RA, fuqaha’ Hanafi, fuqaha’ Syafie, fuqaha’ Hanbali dan pendapat yang rajih (terpilih) dalam mazhab Maliki. Ibnu hajar Al- Haitami pula menafikan wujudnya khilaf ulamak di dalam pengharamannya. Sementara Abul Abbas Al-Qurtubi dan Salim Ar-Razi menyatakan berlaku ijmak ulamak di dalam pengharamannya.
- Sebab mereka mengharamkan:
1. Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Ghanam, daripada Abu Malik Al-Asy’ari, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “...Akan ada beberapa kaum daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat-alat muzik (al-ma’azif – lafaz am yang meliputi juga alat-alat yang dipetik )”
2. Daripada Abu’ Umamah, sabda Nabi SAW : “.... sesungguhnya Allah mengutuskan aku sebagai rahmat kepada sekalian alam. Allah SWT memerintahkan aku menghapuskan alat-alat muzik dan serunai. Oleh itu tidak harus membeli hamba- hamba wanita pemain alat-alat tersebut dan tidak harus menjual, mengajar dan meniagakan mereka. Begitu juga, harga mereka adalah haram.”
3. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW: Ijmak : Ibnu Hajar Al-Haitami berkata, “...alat-alat yang dipetik adalah alat-alat yang biasa digunakan oleh golongan fasiq dan maksiat. Ulamak telah berijmak pada pengharamannya. Sesiapa yang menyangka ada khilaf pada perkara ini, sesungguhnya telah melakukan kesilapan”.
4. Dalil Aqli:
Alat-alat tersebut menghiburkan dan melalaikan daripada zikrullah, solat dan membaca Al-Qur’an. Di samping itu berlaku juga pembaziran wang dan masa. Alat-alat tersebut juga adalah alat kepada golongan fasiq dan maksiat. Islam melarang meniru cara hidup golongan-golongan ini. Selain itu kelazatan yang dihasilkan dengan mendengar alat-alat ini boleh membawa kepada maksiat dan kefasikkan.
Pendapat yang mengharuskan
1. Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Umar, Muawiyah bin Abi Sufian, Amru bin Al-‘Aas, Hassan bin Thabit,Abdul Rahman bin Hassan dan Kharijah bin Zaid.
2. Said bin Musayyab, Ata’ , Sya’bi, Az-Zuhri dan kebanyakan fuqaha’ Madinah.
3. Sebahagian fuqaha’ Maliki, tetapi mereka menghadkan pengharusan tersebut untuk upacara perkahwinan sahaja.
4. Ibnu Hazm, Abdul Ghani An-Nablusi, As-Syazili At-Tunisi dan Idfawi mengharuskannya dengan syarat-syarat berikut:
- Niat yang betul dan tidak bertentangan dengan syara’
- Tujuan yang tidak melanggar batas-batas syara’.
Sebab mereka mengharuskannya:
1. Perbuatan sebahagian sahabat mendengar petikan kecapi dan memiliki hamba-hamba wanita pemain kecapi, sebahagian diriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Umar, Muawiyah bin Abi Sufian dan Amru bin Al-‘Aas.
2. Ijmak Ahli Madinah sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Thahir Al-Maqdisi. Pendapat ini telah ditentang oleh Ibnu Hajar yang mendakwa ia adalah rekaan dan pendustaan Ibnu Tohir semata-mata.
ALAT MUSIK YANG DITIUP
Para fuqaha’ di dalam perkara ini terbahagi kepada dua mazhab:
- Pendapat yang mengharamkannya – mereka yang berpendapat sedemikian ialah:
1. Ibnu Abbas dan Ibnu Umar.
2. Mazhab Hanafi melainkan Nobat yang digunakan untuk tujuan memberi peringatan @ isyarat (tanbih)
3. Mazhab Maliki, melainkan untuk upacara perkahwinan.
4. Mazhab Syafie dan Hanbali
Dalilnya:
1. Hadith riwayat Nafie’ Maula Abdullah bin Umar : “Ibnu Umar terdengar suara serunai, lantas beliau meletakkan dua jarinya di kedua-dua lubang telinganya dan beredar daripada jalan yang dilaluinya. Beliau berkata kepadaku (Nafie’) : “wahai Nafie’, adakah engkau masih mendengar suara itu?” Aku menjawab, “tidak”. Lalu dia mengangkat kedua-dua jarinya daripada telinganya seraya berkata, “aku dahulu bersama Nabi SAW di suatu ketika, tiba-tiba Baginda terdengar suara seperti suara tadi, lantas Baginda melakukan sebagaimana yang telah aku lakukan.”
2. Hadith riwayat Abu Umamah, sabda Nabi SAW : “... Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku sebagai rahmat ke seluruh alam dan memerintahkan aku menghapuskan seluruh alat-alat muzik dan serunai .
3. Hadith riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAWbersabda: “Dua suara yang dilaknat Allah di dunia dan di akhirat, suara serunai ketika kesenangan dan raungan ketika musibah.” Hadith Hasan. Ia disebut oleh As-Sayuti di dalam Al-Jami’ As-Saghir.
4. Dalil Aqli : Alat-alat tersebut adalah syiar golongan fasiq, maksiat dan peminum-peminum aral. Ia juga biasa menaikkan syahwat dan nafsu. Lantaran itu ia boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT.
- Pendapat yang mengharuskan, mereka ialah:
1. Ibnu Kinanah daripada fuqaha’ mazhab Maliki yang mengharuskan serunai dan trompet (Al-Bauq) tetapi dengan syarat tidak berlebih-lebihan.
2. Sebahagian ulamak Syafie mengharuskan penggunaan Al-Yara’ – sejenis seruling.
3. Ibnu Thahir, Ibnu Hazm Al-Andalusi, Abdul Ghani An-Nablusi, Asy-Syazili At-Tunisi dan Al-Idfawi Asy-Syafie.
Dalilnya:
Hadith riwayat Nafie’ Maula Abdullah bin Umar : “Ibnu Umar terdengar suara serunai, lantas beliau meletakkan dua jarinya di kedua-dua lubang telinganya dan beredar daripada jalan yang dilaluinya. Beliau berkata kepadaku (Nafie’) : “wahai Nafie’, adakah engkau masih mendengar suara itu?” Aku menjawab, “tidak”. Lalu dia mengangkat kedua-dua jarinya daripada telinganya seraya berkata, “aku dahulu bersama Nabi SAW di suatu ketika, tiba-tiba Baginda terdengar suara seperti suara tadi, lantas Baginda melakukan sebagaimana yang telah aku lakukan.”
sekiranya mendengar suara serunai haram, sudah tentu Nabi SAW juga akan melarang Ibnu Umar mendengar suara tersebut. Begitu juga Ibnu Umar akan melarang Nafie’ mendengarnya dan melarang peniup serunai daripada terus meniup serunainya. Ini menunjukkan suara serunai tidak haram. Ada pun perbuatan Nabi SAW yang meletakkan kedua jarinya di telinga dan beredar daripada jalan yang dilalui adalah kerana sifat wara’ yang ada pada diri Baginda SAW.
Hujah mereka ini ditolak oleh ulamak-ulamak yang mengharamkannya ialah kerana terdapat perbezaan di antara As-Simaa’ (terdengar tanpa sengaja) dan Al-Istima’ (mendengar dengan sengaja). As-Simaa’ sebagaimana yang berlaku di dalam hadith di atas tidak membawa kepada dosa kerana ia berlaku tanpa disengajakan.
Berdasarkan Dalil Aqli alat-alat muzik diharamkan bukan kerana ainnya (zatnya) yang haram, malah hukum haram alat-alat tersebut ditentukan oleh niat dan tujuan ia dimainkan. Ini adalah berdasarkan kaedah sesuatu perkara itu adalah berdasarkan tujuannya (niat). Sebahagian ulamak Syafie yang mengharuskan penggunaan al-yara’ iaitu sejenis serunai, menyatakan bahawa tiada dalil yang mensabitkan mengharamkan penggunaan alat tersebut.
Kesimpulannya
Alat-alat muzik tidak haram kerana ‘ainnya (zatnya) dan tidak halal kerana ‘ainnya. Tetapi di sana terdapat unsur-unsur luar yang menyebabkan sebahagian alat hukumnya haram sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW di dalam hadith-hadith Baginda. Sebabnya ialah kerana alat-alat yang diharamkan tersebut adalah syiar peminum-peminum arak, lelaki pondan dan golongan fasiq dan maksiat. Yang dimaksudkan dengan syiar ialah alat-alat tersebut tidak digunakan melainkan oleh golongan tersebut sahaja dan digunakan di dalam majlis-majlis mereka sahaja sebagaimana halnya di zaman dahulu. Di zaman tersebut tiadanya media-media seperti televisyen, radio, video, kaset, wayang, satelit dan tiadanya bentuk-bentuk hiburan seperti pementasan, pentomin, drama... dan sebagainya. Di zaman tersebut juga, hiburan seperti nyanyian dan alat-alat muzik hanya boleh didapati di majlis-majlis golongan fasiq, lelaki pondan dan majlis-majlis arak.