Pengurusan Cinta


Cinta merupakan fitrah dan anugerah Illahi yang amat istimewa dalam kehidupan seseorang insan. Berbicara mengenai cinta, tentunya tidak akan lepas dari perbincangan kita mengenai cinta monyet yang menghiasi dunia muda-mudi sekarang ini. Malah tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa itulah perspektif masyarakat pada masa kini terhadap cinta. Hal ini kerana ramai di kalangan masyarakat khususnya remaja dan belia yang fana’ diulit perasaan cinta sudah terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral. Bila perasaan cinta membara dan subur tanpa mempunyai kefahaman dan penghayatan yang betul seseorang itu akan kecundang dan seterusnya tersungkur sehingga hilang hala tuju kehidupan. Gejala sosial yang terpapar di dada akhbar dan media elektronik saban hari kebanyakannya berpunca dari salah faham dan kegagalan menguruskan cinta dengan sempurna.
Permasalahan cinta adalah antara masalah yang kritikal dan dipandang serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Kecintaan yang palsu iaitu cinta yang sudah dicabuli oleh hawa nafsu syahwat semata-mata merupakan pembawa kepada kegiatan mungkar dan keji. Jesteru itu cinta sering dipergunakan untuk melunaskan nafsu syahwat dan kejahatan syaitan sahaja. Oleh hal demikian sebagai individu mukmin kita seharuslah peka mengenai konsep pencintaan ini supaya tidak terjerumus kedalam cinta palsu yang penuh dengan kekejian.
Cinta acap kali dikatakan merupakan penyebab kepada berlakunya gejala sosial pada masa kini. Mungkin disebabkan pemahaman cinta oleh masyarakat kini sudah terpesong oleh konsep kecintaan palsu bukan lagi cinta hakiki yang suci. Kegagalan masyarakat memahami apa itu erti cinta yang sebenar dan kegagalan dalam menguruskan cinta merupakan penyebabkan tanggapan masyarakat terhadap cinta adalah negatif. Pada hakikatnya cinta adalah suatu yang murni sekiranya cinta dapat diuruskan berlandaskan apa yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Selain itu juga kefahaman dan pengurusan cinta yang betul akan menjadi salah satu alternatif dan jalan dalam menangani gejala sosial yang berpunca dari cinta.



PENGURUSAN CINTA MENGIKUT ISLAM
Adakah Islam memusuhi dan membenci cinta? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Oleh hal demikian, Islam telah menetapkan konsep pencintaan manusia beberapa peringkat keutamaan yang tersendiri.
1. Cinta kepada Allah swt.
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah. Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Sebagaimana maksud firman Allah swt dalam surah surah al-Baqarah ayat 165:

Maksudnya: (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu muslim lantaran kerana keagungan nilai dan ketelusan ihsan-Nya menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah swt tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah swt umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah swt adalah syarat utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah swt, sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.

2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’
Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Hal ini kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut:

“ Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseoran maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: seseorang yang menyintai Allah dan RasulNya lebih daripada menyintai yang lain. Kedua, menyintai seseorang kerana Allah. Ketiga tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia tidak suka dicampakkan kedalam api neraka”
Namun dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah s.a.w dari segi masa atau waktu adakah tidak berpeluang lagi kita memberikan cinta kepada Rasulullah s.a.w? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap Baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah s.a.w. selain itu juga cara untuk membuktikan bahawa bukti kecintaan kepada Rasulullah s.a.w adalah dengan berselawat keatasnya.
3. Cinta sesama mukmin.
Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Hal ini kerana kedua ibubapalah yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka iaitu kita sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Israa’ ayat 24 yang bermaksud:
Maksudnya: dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang beriman sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah s.a.w. firman Allah swt didalam surah al-Fath ayat 29 bermaksud:
Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.

4. Cinta antara lelaki dan wanita
Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu cinta. Sudah sejak azali lagi lumrah manusia ingin bercinta iaitu antara lelaki dan wanita. Tetapi adakah cinta ini dibolehkan didalam Islam? Cinta ini adalah sangat bahaya kerana dengan bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah. Sebagaimana dalam surah an-Nuur ayat 30 bermaksud:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan,
Betapa bahayanya cinta antara lelaki dan wanita ini. Pasangan yang bercinta akan hanyut dibuai gelora cinta yang membara tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik, setiap saat tidak akan tenteram sekiranya tidak mendengar atau berjumpa dengan pasangan idaman hati. Seterusnya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan. Cinta sebegini adalah cinta yang keji yang hanya mahu memuaskan keghairahan diri masing- masing bukan kerana cinta pada seseorang adalah kerana Allah swt.
Oleh hal demikian altenatif atau jalan terbaik untuk memenuhi fitrah cinta manusia dan sekaligus mengatasi masalah ini adalah dengan ikatan perkahwinan. Hal ini kerana cinta antara lelaki dan wanita iaitu suami dan isteri dibolehkan. Percintaan sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan.
Sesungguhnya kekosongan cinta antara lelaki dan wanita sebelum perkahwinan secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah dengan menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan.

No response to “Pengurusan Cinta”

Post a Comment