STRATEGI MENGHADAPI CABARAN


Persoalan yang selalu dibincangkan di kalangan aktivis Islam ialah bagaimana untuk menghadapi ancaman Zionis-Yahudi yang sedang mencengkam dunia Islam. Lazimnya, dari siri perbincangan yang dibuat di dalam dan di luar negara, terdapat dua jenis reaksi yang berbeza.

Pertama, dari kalangan generasi yang dijajah seperti Palestin, Kashmir, Afghanistan, Iraq, Chechnya dan seumpamanya, mereka pada umumnya memilih jalan perang keran tidak diberi pilihan untuk hidup bermaruah, terhormat, bebas dan merdeka.

Kedua, dari kalangan yang bermastautin di Barat dan di negara yang tidak terlibat dalam peperangan, majoriti memilih jalan dakwah dan memperhebat gerakan penerangan mengenai Islam dengan menggunakan teknologi media yang terkini. Mereka seboleh-bolehnya mengelakkan sebarang konfrontasi dengan mana-mana pihak, apatah lagi dengan pihak pemerintah.

Memang sukar untuk menentukan jalan mana yang terbaik untuk umat ketika ini kerana setiap tindakan bergantung pada situasi dan kondisi. Namun, pada masa yang sama, tamadun Barat sedang menghadapi krisis moral dan sosial yang amat tenat. Kadar kelahiran anak luar nikah di AS dan UK adalah yang tertinggi di kalangan negara maju. Setiap seorang dari tiga orang kulit hitam di Amerika Syarikat kemungkinan akan dipenjarakan kerana kesalahan jenayah. Setiap minggu, purata 88 orang kanak-kanak dibuang sekolah di Amerika Syarikat kerana membawa senjata. Setiap tahun rakyat Amerika Syarikat membelanjakan AS$10 billion untuk bahan pornografi manakala pada tahun 2003, negara itu membelanjakan AS$396 bilion untuk melengkapkan pasukan tenteranya. (Lihat 50 facts that should change the world, Jessica Williams (2004).

Allah Ta`ala berfirman:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka; agar mereka kembali (ke jalan yang benar)
(lah Rum 30:41)

فَذَاقَتْ وَبَالَ أَمْرِهَا وَكَانَ عَاقِبَةُ أَمْرِهَا خُسْرًا
“Sehingga mereka merasakan akibat yang buruk dari perbuatannya, dan akibat perbuatan mereka itu adalah kerugian yang besar”
(At Talaq 65:9)

Menggunakan Peluang

Di sebalik cabaran dan masalah yang dihadapi, umat Islam mempunyai peluang dan kekuatan berdasarkan perkembangan dan situasi yang ada. Peluang ini ini mesti direbut dan digunakan untuk memartabatkan dirinya. Misalnya, kesedaran beragama di kalangan semua penganut agama di dunia semakin meningkat akibat dasar pembangunan yang berasaskan faham sekularisme dan materialisme yang semakin global. Kesedaran agama ini adalah ruang terbaik untuk Islam berkembang.

Umat Islam sendiri semakin ramai yang cuba dan berusaha untuk menghayati Islam secara menyeluruh akibat kegagalan sistem pemerintahan warisan penjajah yang dipaksakan ke atas mereka. Perang ke atas pengganas telah mengakibatkan masyarakat Barat yang berbudaya ‘ingin tahu’ semakin mendalami ajaran Islam sehinggakan semakin ramai yang menganut Islam. Teknologi media yang semakin canggih memungkinkan ajaran Islam dapat dicapai melalui internet dengan berkesan, cepat dan global.


Mengelakkan Konfrontasi

Umat Islam mestilah mengelakkan diri daripada terus berkonfrontasi dengan Barat. Pada masa yang sama kita mesti memperhebat usaha-usaha dakwah bil hal dan dialog antara agama. Islam terbukti berkembang dengan positif selepas Perjanjian Hudaibiyyah berbanding ketika perang sedang memuncak dan ini merupakan bukti bahawa suasana aman adalah prasyarat terhadap perkembangan dakwah yang pesat. Hanya setelah dua tahun Perjanjian Hudaibiyyah ditandatangani, puluhan ribu umat Islam baik yang telah lama menganut mahupun yang baru telah berbondong-bondong memasuki Makkah dengan aman setelah bandar suci itu diserahkan kepada lah-Rasul s.a.w. tanpa perang.

Memperhebat Dialog Antara Agama

Umat Islam mestilah melahirkan pakar-pakar dalam bidang perbandingan agama ketika semua agama sedang mengalami kebangkitan masing-masing di seluruh dunia. Ulama-Ulama abad 21 harus mempunyai ilmu perbandingan agama sebagai manhaj dakwah abad baru. Namun, dalam keghairahan berdialog, kita perlu mengingati panduan al-Quran yang jelas menegaskan “lakum di nukum wali ya din” di dalam pengertian kita menghormati perbezaan aqidah masing-masing.

Memperkasa Martabat Ulama dan Sarjana

Umat Islam mesti memperkasa martabat ulama dan sarjana dengan memberi kebebasan dan hak membuat kajian, menulis dan menyampaikan ilmu dengan bebas dan bertanggung jawab. Sebagaimana pihak pemerintah mempunyai pelbagai keistimewaan dan kemudahan untuk memerintah, begitu juga status ulama dan intelektual harus menyamainya kerana ilmu adalah panduan hidup dan panduan beragama.

Namun demikian, nasib ulama dan intelektual di dunia Islam amatlah memilukan sehinggakan ramai yang menjadi buruan pemerintah kerana lantang memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Akibatnya maka ramailah ulama dan intelektual yang bisu, pekak dan tuli dalam pengertian tidak lagi berani menegur pemerintah kerana serba ketakutan atau ditakut-takutkan.

Dr Abdul Hamid Abu Sulayman, Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia menggambarkan nasib para intelektual di dunia Islam seperti berikut:
The Muslim scholar is either caught between the ignorant Mullahs threatening him with Jahannam or the corrupt rulers threatening with jail. (lihat Islam under siege, hal. 91-92)

Mengeratkan Hubungan Ulama-Umarak-Ummah
Sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan kesalingan antara ulama dan umarak menjadi erat dan kental, maka kerajaan akan bertambah kuat, ummah akan terbela, negara menjadi menjadi aman dan damai.

Di Alam Melayu, sejarah kerajaan Islam Samudera Pasai, Melaka dan Aceh membuktikan bahawa wujudnya kesalingan ini telah menjadikan kerajaan tersebut menjadi pusat perkembangan Islam yang paling penting dan berpengaruh pada abad 14 sehingga ke-17. Sebaliknya pula, sebaik sahaja ulama dan umarak bermusuhan, maka pemerintahan akan lemah, ummah tidak terbela, negara akan hancur sama ada kerana perpecahan dalaman akibat serangan luar atau ditimpa bala bencana.

Menyemarakkan Semangat Kekitaan
Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab agungnya Mukadimah menekankan kepentingan semangat kekitaan sebagai prasyarat untuk bangun sebagai suatu bangsa yang kuat dan berpengaruh. Katanya: “ Kuasa raja dan kekuasaan sesebuah dinasti secara meluas hanya boleh ditegakkan melalui usaha sesuatu kumpulan dan perasaan kekitaan (Mukadimah, hal. 138).

Akibat badai globalisasi yang melanda dunia pada hari ini, dunia Islam menderitai perpecahan yang parah. Semangat kekitaan yang berdasarkan persaudaraan Islam (ukhwah Islamiyyah) semakin lumpuh. Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang antara tujuannya untuk menyatukan umat, telah merosot peranannya sekadar tempat meluahkan perasaan, melepaskan geram dan marah tanpa berkemampuan untuk bertindak membela nasib umat yang menderita.

Akhbar S. Ahmad menyatakan 10 sebab mengapa semangat kekitaan hampir lumpuh di batang tubuh umat Islam:
1. Proses urbanisasi atau perbandaran yang terlalu cepat dan tidak terancang
2. Perubahan demografi yang dramatik akibat ledakan pertambahan penduduk.
3. Pemerintah yang lemah, zalim dan autokratik.
4. Kadar penghijrahan yang besar ke dunia Barat.
5. Jurang miskin-kaya semakin melebar
6. Jenayah rasuah tak terbendung
7. Budaya materialisme menggantikan agama dan adat resam
8. Kualiti pendidikan semakin merosot.
9. Krisis identiti yang parah antara elit dan massa
10. Budaya hedonistik yang subur akibat penyiaran media yang tidak terkawal

Sebagai langkah awal untuk menggembalikan semula semangat kekitaan ini, kita menyeru semua pemimpin dunia Islam yang berpegang kepada apa yang diseru oleh baginda lah-Rasul s.a.w. dalam Khutbah Wada’ yang merupakan formula ILahi untuk umatnya meneruskan peranan kekhalifahannya; “Maka perhatikanlah perkataanku itu, wahai manusia, sesungguhnya telah aku sampaikan. Aku tinggalkan sesuatu kepada kamu, yang jika kamu pegang teguh, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu; Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya.” (Sirah Nabawiyyah, al-Buti, masa 435).

No response to “STRATEGI MENGHADAPI CABARAN”

Post a Comment