Tahukah anda apa itu PERKIM?


LATAR BELAKANG
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah diasaskan oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan didaftarkan pada 19 Ogos 1960. Selepas penubuhannya, Tunku telah dilantik sebagai penasihat sehingga tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden sehingga tahun 1989.

PERKIM di peringkat negeri dikenali sebagai PERKIM Bahagian. Terdapat 13 buah bahagian di seluruh negara kecuali Sabah. Pengurusan PERKIM Bahagian diketuai oleh Pengerusi PERKIM Bahagian yang dilantik dalam Mesyuarat Agung PERKIM Bahagian. Urusetia PERKIM Kebangsaan menyalurkan peruntukan untuk pengajian kakitangan dan juga untuk beberapa aktiviti tertentu di peringkat PERKIM Bahagian.
PERKIM juga mempunyai bahagian wanita yang dikenali sebagai Wanita PERKIM dan kedudukannya adalah setaraf dengan PERKIM Bahagian-bahagian.
Di peringkat bahagian pula pula wujud entiti cawangan di setiap daerah. Cawangan-cawangan ini diuruskan oleh Pengerusi Cawangan yang juga dipilih di dalam Mesyuarat Agung PERKIM Cawangan. Cawangan bertanggungjawab melapor segala gerak kerja kepada PERKIM Bahagian bagi memastikan ianya selari dengan dasar PERKIM Kebangsaan.





LENCANA DAN LAMBANG

Lencana dan lambang PERKIM ialah rajah mengandungi kubah dan menara masjid berwarna hijau tua dengan bintang berbucu lima di atas kubah dan menara itu. Kesemuanya terletak dalam lingkungan bulan sabit yang diatasnya tertulis dengan jawi perkataan "Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia” dan “PERKIM” di bawahnya.

COGAN KATA PERKIM

Cogankata PERKIM iaitu, "Islam Itu Persaudaraan" menjadi tunggak yang harus sentiasa dihayati dan dipraktikkan dimana PERKIM hendaknya dijadikan nadi untuk menyatupadukan umat Islam khususnya ahli-ahli dan masyarakat setempat amnya.


OBJEKTIF
VISI - MENJADIKAN PERKIM SEBAGAI NGO DAKWAH SEJAJAR DENGAN WAWASAN 2020
MISI - MENJADIKAN PERKIM SEBUAH NGO PENGGERAK DAKWAH TERUNGGUL UNTUK MEMBERI SOKONGAN KEPADA INSTITUSI ISLAM DI MALAYSIA DAN ANTARABANGSA.

LIMA ELEMEN UTAMA YANG MENGERAK HALA TUJU PERKIM
Dakwah
Menjalankan dakwah Islamiyah kepada orang-orang Islam dan bukan Islam dengan cara positif dan berkesan.

Pendidikan
Memberi, mengada, mengurus dan menjalankan pelajaran serta pendidikan Islam menerusi segala media dan segala jalan yang sah di sisi undang-undang.

Kebajikan
Menjalankan semua kerja kebajikan termasuk memberi bantuan, derma, biasiswa dan dermasiswa kepada sesiapa yang berkelayakan dan menjalankan lain-lain amal jariah kepada yang sakit, miskin, susah dan daif.

Kerjasama dalam bidang agama
Menubuhkan perantaraan dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan Islam yang lain demi kemajuan agama Islam

Lain-lain
Menjalankan lain-lain kegiatan demi kepentingan dan kemajuan Islam.
Dalam merealisasikan objektif penubuhannya, PERKIM mempraktikkan penyebaran syiar dakwah Islamiah berdasarkan kerja-kerja kebajikan yang terbukti telah memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat, sekaligus dapat meningkatkan imej Islam serta menghapuskan sebarang prasangka buruk terhadap Islam.

No response to “Tahukah anda apa itu PERKIM?”

Post a Comment