HUKUMAN KEPADA ORANG MURTAD



Gejala murtad yang dilakukan oleh seseorang itu perlu ditentang dan dihapuskan supaya tidak merebak kepada orang lain yang seterusnya menyebabkan ramai yang akan murtad. Orang murtad diatasnya dikenakan beberapa hukum iaitu, pertama: disuruh bertaubat, kedua: dihukum bunuh kalau tidak mahu bertaubat, ketiga: dirampas hartanya (ditarik hak milik harta), keempat: terputus hubungan suami isteri dan tidak boleh pusaka mempusakai antara suami isteri, ayah ibu dan anak-anak, kelima; penyembelihannya tidak halal dan pahala ibadatnya terbatal. Dibawah ini diterangkan hukum-hukum secara terperinci:

Pertama : Disuruh bertaubat

Apabila seseorang itu telah disabitkan dengan kesalahan murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Sekiranya dia dia mahu bertaubat setelah disuruh berulang kali dia mesti dibunuh. Tempoh masa yang diberikan supaya dia bertaubah semula mengikut jumhur ulama’ iaitu selama tiga hari tiga malam, terdapat hadis mengatakan dia diberi peluang bartaubat selama kira-kira dua puluh malam

Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu memeluk Islam semula, taubatnya diterima, dengan melalui beberapa perkara: Pertama, dia perlu mengucap dua kalimah syahadah semula. Kedua, dia perlu membuat pengakuan atau ikrar di atas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi kafir iaitu murtad, dan melepaskan diri daripada segala ajaran yang menyalahi agama Islam. Umpamanya jika dia murtad dengan sebab percaya adanya dua Tuhan atau mengingkari risalah Nabi Muhammad s.a.w., maka sewaktu bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dia perlu membuat pengakuan yang Tuhan hanya satu bukan dua, dan mengaku memang betul dan benar bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi akhir zaman.

Kedua : Dijatuhkan hukuman bunuh

Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan dikaunseling dalam masa tempoh yang ditentukan, maka tidak ada jalan lain dia mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya.”

Dari hadis di atas jelas bahawa orang yang murtad mesti dibunuh segera apabila dia enggan bertaubat. Hukum bunuh seperti di atas telah pun dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W., antaranya Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abu Talib r.a. sewaktu pemerintahan masing-masing.

Ketiga : Dirampas semua hartanya

Setelah disabitkan seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya perlu dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan diletak dibawah pengawasan Ketua Negara atau wakilnya. Jika harta itu perlu diambil untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, pihak kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar perlu sahaja.

Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta tersebut perlu diserah balik kepadanya. Ini bererti harta tersebut masih dianggap hartanya cuma ditahan hak milik buat sementara. Tetapi sekiranya dia tetap tidak mahu bertaubat, bahkan dijatuhkan hukuman bunuh, maka harta tersebut menjadi milik kerajaan dikira semenjak dia mula-mula murtad lagi. Harta orang yang murtad tidak boleh dipusakai oleh waris-warisnya dan dia juga tidak boleh menerima harta pusaka dari waris-waris lain kerana diantara syarat untuk membolehkan seseorang menerima harta pusaka ialah waris tersebut sama-sama beragama Islam, sedangkan orang itu telah menjadi kafir. Sebagaimana Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang Islam tidak boleh mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi orang Islam.”

Keempat : Terputus hubungan suami isteri.

Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad kembali bertaubat iaitu masuk Islam semula dalam masa 'idah isterinya belum habis maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak bertaubat dalam masa 'idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. Kalau dia bertaubat iaitu kembali kepada Islam semula selepas habis 'idah, dia perlu diakad nikah semula dengan mas kahwin baru jika mahu meneruskan hubungan suami isteri yang sah. Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan orang lain.

Kelima : Penyembelihan tidak halal dan segala pahala amalan ibadatbya terbatal.

Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Kristian sekali pun penyembelihannya tetap haram. Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan - walau berapa banyak sekali pun - menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia.

Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya mengqada'kan amal-amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada'kan.

No response to “HUKUMAN KEPADA ORANG MURTAD”

Post a Comment